KIULU: Pendirian parti-parti politik tempatan yang memilih untuk bertanding bersendirian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang tidak selari dengan keperluan rakyat yang mahukan kestabilan serta kerjasama mantap antara parti tempatan.
Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai berkata pendekatan oleh pihaknya telah membuktikan keberkesanannya dalam mentadbir negeri secara inklusif, stabil dan berfokus kepada pembangunan jangka panjang.
“Kerajaan GRS kini mengorak langkah seperti kerajaan GPS di Sarawak yang dibentuk oleh parti-parti tempatan yang mewakili semua kaum… pendekatan inilah yang terbaik untuk Sabah.
“Kalau kita melihat Sarawak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) mempunyai majoriti jelas tetapi tetap memilih untuk bekerjasama dengan parti-parti lain untuk bersama-sama membangunkan sosiou-ekonomi Sarawak. Bukan bersendirian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Papawantai Taasok dan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Mukim Lembah di sini, semalam.
Mengulas lanjut pengumuman Parti Warisan (WARISAN) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) untuk bertanding solo, Joniston menyifatkannya sebagai taktikal politik yang menurutnya menggambarkan hala tuju politik kurang konsisten dengan aspirasi rakyat Sabah.
“Kita tidak menolak hak mana-mana pihak untuk bertanding bersendirian, tetapi pada akhirnya rakyat menilai hasil, dan kestabilan hanya dapat dicapai apabila parti-parti tempatan memilih untuk bekerjasama, bukan bersaing sesama sendiri.
“Kalau benar-benar mahu membawa pendekatan matang, ia mesti disusuli dengan kesanggupan untuk bekerjasama dan bertolak ansur… bukan bergerak sendirian dan menafikan kekuatan kolektif,” katanya.
Beliau turut mengingatkan tindakan WARISAN dan KDM sebelum ini sanggup bersubahat dengan UMNO dalam cubaan menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor, yang menurutnya jelas menunjukkan keutamaan diberikan kepada kepentingan politik peribadi berbanding kestabilan negeri.
“Tindakan seperti ini tidak mencerminkan kepimpinan yang memikirkan rakyat, sebaliknya hanya menjejaskan keyakinan umum dan mengganggu tumpuan terhadap agenda pembangunan,” katanya.
Menurutnya, pentadbiran GRS yang dipimpin oleh Hajiji telah membuktikan bahawa gabungan parti tempatan mampu berfungsi dengan baik, malah membawa banyak pencapaian seperti peningkatan rizab negeri dan pelaksanaan inisiatif kebajikan.