Tidak puas hati dituduh calar kereta, lelaki ugut jiran dengan pisau

Suspek ditahan kerana melakukan ugutan jenayah terhadap jiran, Jumaat lalu. Foto Ihsan PDRM.

TAWAU : Polis menahan seorang lelaki selepas bertindak agresif dengan mengacukan pisau ke arah jirannya kerana tidak berpuas hati dituduh mencalarkan kereta milik mangsa dalam kejadian di Taman Ria 3, di sini, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, kejadian berlaku jam 8.27 pagi apabila mangsa menyedari terdapat kesan calar dan contengan pada kenderaannya yang diletakkan di hadapan rumah.

“Mangsa kemudiannya menegur suspek yang dipercayai bertanggungjawab, namun teguran itu tidak diendahkan.

"Sebaliknya, suspek menjadi berang sebelum mengeluarkan sebilah pisau dan mengacukannya ke arah mangsa sambil mengeluarkan kata-kata ugutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bimbang dengan keselamatan diri, mangsa tampil membuat laporan polis.

Beliau berkata, susulan laporan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bertindak pantas menahan suspek di kawasan berhampiran rumahnya kira-kira pukul 3.15 petang hari sama, selain merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian.

“Siasatan lanjut turut mendapati suspek berusia 44 tahun itu mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah masing-masing pada tahun 2012 dan 2025,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama