![]() |
Hajiji ketika ditemui media. |
KOTA KINABALU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan diadakan pada bila-bila masa selepas berakhirnya Perhimpunan Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang berlangsung hujung minggu ini.
Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata perhimpunan selama tiga hari itu bakal menjadi pentas untuk menentukan hala tuju parti.
Katanya, perhimpunan agung itu juga sangat penting kerana Sabah akan menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa sahaja.
“Sebarang pengumuman rasmi mengenai tarikh PRN hanya akan dibuat apabila tiba waktunya dan mungkin dizahirkan semasa perhimpunan agung berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-36 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Hajiji turut mengesahkan perbincangan dengan pimpinan Pakatan Harapan (PH) termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH, telah diadakan beberapa kali bagi menentukan bentuk kerjasama politik menjelang PRN.
“Kami telah berbincang beberapa kali, malah dengan Perdana Menteri sendiri. Jadi, saya rasa keputusan terakhir akan dibuat dan diumumkan apabila sampai masanya,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri mahu meneruskan kerjasama yang terjalin antara GRS dan PH bagi memastikan kestabilan politik dan kelangsungan pentadbiran yang mampan di Sabah.
“Bagi kita, kestabilan politik sangat penting. Bukan sekadar untuk menang pilihan raya, tetapi selepas pilihan raya kita mesti ada kestabilan politik. Dari situ barulah kita dapat merancang dan membangunkan negeri,” katanya.
Terdahulu, Hajiji berkata kejayaan pelajar Sabah yang menerima Anugerah Biasiswa Cemerlang adalah hasil komitmen kerajaan negeri dalam memberi keutamaan terhadap pembangunan modal insan.
Katanya, pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang SPM, STPM dan STAM itu adalah hasil kerjasama strategik antara kerajaan negeri, Yayasan Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
“Kita amat berbangga kerana dasar kita dalam memartabatkan bidang pendidikan membuahkan hasil. Kita bantu bukan sahaja pelajar cemerlang, tetapi juga mereka yang memerlukan,” katanya.
“Pelajar yang melanjutkan pengajian dalam bidang relevan dengan keperluan semasa diharap dapat kembali berkhidmat kepada negeri Sabah, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta,” katanya.