Datuk ditahan tipu tawar gelaran kebesaran

KOTA KINABALU: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas dipercayai menipu seorang lelaki hingga mendorong mangsa membayar wang rasuah berjumlah kira-kira RM6,000, kononnya bagi mendapatkan darjah kebesaran negeri Pahang.

Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari tadi ketika hadir ke Pejabat SPRM Sabah untuk dirakam keterangan.

“Siasatan awal mendapati suspek, sekitar tahun 2023, dipercayai menawarkan bantuan kepada pengadu untuk mendapatkan gelaran Datuk dari negeri Pahang walaupun hakikatnya dia tidak mempunyai sebarang kuasa atau pengaruh untuk berbuat demikian.

“Suspek didakwa secara tidak jujur mendorong mangsa memindahkan wang sekitar RM6,000 kononnya sebagai bayaran pembelian aksesori pakaian istiadat yang dikatakan sebahagian daripada proses penganugerahan darjah kebesaran itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy mengesahkan penahanan lelaki berkenaan.

Katanya, suspek dibebaskan dengan jaminan RM5,000 sebagai sebahagian daripada jumlah keseluruhan jaminan RM10,000 yang dikenakan terhadapnya.

“Suspek akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Khamis ini mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama