![]() |
Tertuduh Aco Hawe, 41, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar 2,129.86 gram dadah jenis methamphetamine, 7 Julai lalu. Foto | SS. |
TAWAU : Seorang lelaki warga Indonesia berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Tawau hari ini atas pertuduhan mengedar lebih dua kilogram dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM74,500.
Tertuduh, Aco Hawe, 41, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Aco didakwa mengedar 2,129.86 gram methamphetamine di sebuah bengkel membaiki kenderaan di Kampung Tator Hill Top, kira-kira jam 11.30 pagi pada 7 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika tidak dikenakan hukuman mati.
Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Nur Intan Jamrin memberitahu mahkamah bahawa tiada jaminan ditawarkan memandangkan kes berkenaan tidak boleh diikat jamin. Tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 26 Ogos depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.