KOTA KINABALU: Seorang pengurus kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM16,000.
Suspek lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah, di sini, hari ini.
Menurut sumber, suspek dipercayai meminta dan menerima bayaran berkenaan sebagai balasan bagi mendapatkan kerja-kerja membaik pulih di bawah kendalian GLC yang diwakilinya.
"Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2024 dan menerima wang sogokan itu secara berperingkat melalui transaksi ke akaun bank miliknya," katanya.
Difahamkan, jumlah keseluruhan suapan yang diterima mencecah RM16,000.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, esok bagi permohonan reman," katanya.