![]() |
Karunanithy ketika ditemui media. |
KOTA KINABALU: Penjawat awam yang melaporkan pemberian atau penerimaan rasuah layak menerima ganjaran tunai setimpal jumlah wang sogokan ditawarkan.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Karunanithy Y. Subbiah berkata langkah tersebut selaras dasar kerajaan sejak tahun 2011 yang bertujuan mengiktiraf integriti dan keberanian penjawat awam yang tampil melaporkan amalan rasuah, sama ada berkaitan pemberian atau penerimaan suapan.
“Sekiranya seorang penjawat awam membuat laporan kepada SPRM berhubung pemberian rasuah dan hasil siasatan membawa kepada tangkapan serta pendakwaan, kes itu akan dibawa ke mahkamah.
"Jika tertuduh mengaku salah atau didapati bersalah maka kes itu akan dinilai oleh sebuah jawatankuasa peringkat negeri,” katanya ketika ditemui media semasa Seminar Tatakelola Berintegriti: Teras Reformasi Perkhidmatan Awam, pada Selasa.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Seri Rosli Isa dan Ketua Eksekutif Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA), Datuk Seri Panglima Hashim Paijan.
Menurut Karunanithy, jawatankuasa itu dipengerusikan oleh beliau sendiri bersama wakil Jabatan Audit dan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah sebelum rekomendasi dikemukakan kepada Jawatankuasa Induk berhubung ganjaran yang sewajarnya.
Beliau juga menjelaskan ganjaran yang diberikan adalah dalam bentuk dollar-to-dollar iaitu nilai ganjaran tunai bersamaan dengan jumlah wang rasuah yang ditawarkan.
“Sebagai contoh, jika penjawat awam menerima tawaran rasuah RM10,000 dan melaporkannya maka jumlah itu akan dicadangkan sebagai ganjaran.
"Namun untuk kes melibatkan jumlah kecil seperti RM100 kadar minimum ganjaran yang dipertimbangkan ialah RM500,” ujarnya.
Selain ganjaran tunai, penjawat awam terbabit juga akan menerima sijil penghargaan rasmi sebagai pengiktirafan terhadap komitmen mereka menegakkan integriti sektor awam.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa ganjaran hanya tertakluk kepada penjawat awam yang menerima tawaran rasuah dan membuat laporan sah kepada SPRM, bukan pemberi maklumat awam.
Katanya, bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009, menjadi kewajipan mana-mana individu yang mengetahui mengenai sebarang tawaran rasuah untuk melaporkannya kepada SPRM. Kegagalan berbuat demikian merupakan satu kesalahan.
Sepanjang tahun 2023, RM54,850 ganjaran tunai telah diberikan kepada penjawat awam di Sabah dan daripada jumlah itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima RM52,850 manakala Jabatan Imigresen Malaysia menerima RM2,000.
“PDRM merupakan agensi paling aktif tampil membuat laporan. Agensi negeri pula hanya mencatatkan satu kes dilaporkan setakat ini iaitu oleh Jabatan Perhilitan,” tambahnya.
Beliau turut berkongsi insiden membabitkan penjawat awam yang menerima sampul berisi wang secara senyap daripada individu tidak dikenali, namun bertindak jujur dengan menyerahkan wang tersebut terus ke pejabat SPRM bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pemberi suapan.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)