![]() |
Smith dan Lusiwoi masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima suapan berhubung urusan permohonan dan bancian tanah kerajaan tujuh tahun lalu. |
TAWAU : Seorang Juruteknik dan seorang pesara jabatan kerajaan negeri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berhubung urusan permohonan dan bancian tanah kerajaan, kira-kira tujuh tahun lalu.
Tertuduh Smith A. Lewas @ Simon, 56, dan Lusiwoi Kisa, 62, masing-masing membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Jason Juga.
Mengikut pertuduhan, Smith yang ketika itu bertugas sebagai Juruteknik Gred J17 di Pejabat Penolong Pemungut Hasil Tanah Kunak, didakwa cuba memperoleh rasuah berjumlah RM54,000 daripada seorang individu bernama Goefle Joseph sebagai dorongan untuk memproses permohonan tanah Skim Pekebun-Pekebun Kecil Madai Baturong (SPPKMB) Kunak, membabitkan 27 peserta termasuk Goefle.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah studio di daerah Kunak pada jam 8 malam, Mei 2016.
Sementara itu, Lusiwoi yang merupakan bekas Pembantu Tadbir N17 di Bahagian Penguat Kuasa, Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah, didakwa cuba memperoleh suapan wang tunai RM12,000 daripada Cornilius Jomol @ Terence, 71, sebagai ganjaran untuk menjalankan bancian lot tanah bagi pihak Cornilius dan 16 peserta lain, walaupun mereka tidak lagi mempunyai lot tanah yang layak dibanci.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sekitar bandar Lahad Datu pada Jun 2016.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sabah, Nurul Izzati Sapifee menawarkan jaminan masing-masing RM15,000 dan RM8,000 berserta syarat tambahan termasuk penyerahan pasport kepada mahkamah, melapor diri ke pejabat SPRM sekali setiap dua bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan Smith diikat jamin RM10,000 manakala Lusiwoi sebanyak RM6,000, masing-masing dengan seorang penjamin tempatan dan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.
Hakim menetapkan 11 Sept ini untuk sebutan semula kes.
Smith diwakili Peguam Vivien Thien manakala Lusiwoi diwakili Peguam Jhassery P. Kang.