![]() |
Kejadian tular membabitkan seorang lelaki menampar pelancong asing di sebuah pusat pelancong di Semporna, semalam. Foto | Tular media sosial. |
SEMPORNA: Akibat tidak berpuas hati kaki dihempap tangki skuba, seorang jurulatih selam skuba bertindak di luar kawalan apabila bertindak menampar selain mengugut seorang pelancong lelaki warga asing dalam kejadian yang videonya kini tular di media sosial.
Suspek, seorang "Dive Master" lelaki tempatan berusia 38 tahun, ditahan polis selepas mangsa berusia 34 tahun yang juga pelancong warga Taiwan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, jam 10.46 pagi semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintenden Jaafar Hakim berkata, siasatan awal mendapati insiden berlaku ketika kedua-dua individu berada dalam bot menuju ke perairan Pulau Timba-Timba untuk aktiviti selam skuba, sehari sebelum kejadian.
"Ketika dalam perjalanan, tangki skuba milik mangsa tumbang lalu menghempap kaki suspek sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dan mencetuskan pertengkaran antara mereka.
"Suspek kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Tawau sebelum kembali ke syarikat pelancongan berkenaan untuk menuntut ganti rugi daripada mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jaafar berkata, bagaimanapun pertemuan mereka sekali lagi bertukar tegang sebelum berlaku pertengkaran mulut yang berlarutan kepada tindakan agresif.
Ujarnya lagi, suspek dipercayai memukul mangsa selain mengugut mahu mencederakannya dan susulan laporan yang diterima, polis segera bertindak menahan lelaki terbabit untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang awam yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Nurfazlina Abdullah di talian 019-8011009 atau IPD Semporna di talian 089-782020, atau hadir ke balai polis berhampiran.