Farhash tidak pernah mohon lesen teroka lombong di Sabah

 

KOTA KINABALU: Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah menafikan dakwaan bahawa syarikat Bumi Suria Sdn Bhd, yang dikaitkan dengan bekas pembantu Perdana Menteri, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, pernah mengemukakan permohonan lesen penerokaan (PL) mineral di negeri ini.

Memetik sumber Portal Malaysiakini, Pengarah JTU Sabah, Bernard Liew, berkata pihaknya tidak pernah menerima sebarang permohonan rasmi daripada syarikat terbabit, sekali gus menolak dakwaan kononnya Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, telah meluluskan lesen kepada Bumi Suria.

Katanya, JTU Sabah tidak pernah menerima sebarang permohonan PL daripada syarikat tersebut. 

"Jika tiada permohonan dikemukakan, bagaimana proses kelulusan boleh dijalankan dan dibawa kepada Ketua Menteri untuk dipertimbangkan?

“Di bawah Ordinan Perlombongan Sabah, semua permohonan bagi lesen penerokaan perlu dikemukakan secara rasmi kepada Pengarah JTU untuk diproses,” katanya. 

Bernard berkata demikian sebagai respons kepada laporan sebuah portal berita yang mendakwa Hajiji, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), telah menyokong cadangan pemberian lesen eksplorasi kepada Bumi Suria bagi kawasan seluas 70,000 hektar di Hutan Simpan Kalabakan dan Gunung Rara.

Portal berkenaan turut menyiarkan satu klip audio yang didakwa merakam suara Hajiji dalam satu mesyuarat bersama wakil syarikat perlombongan arang batu, Bayan Assets Sdn Bhd iaitu syarikat yang dikatakan bekerjasama dengan Bumi Suria.

Mengulas lanjut, Bernard berkata, pihaknya enggan mengesahkan sama ada Bayan Assets pernah memohon atau menerima lesen eksplorasi, memandangkan semua permohonan kepada JTU adalah sulit dan tertakluk kepada status keistimewaan.

“Maklumat mengenai Bumi Suria hanya didedahkan kerana sudah berlaku kebocoran maklumat, dan kami ingin menjelaskan keadaan sebenar supaya tidak timbul kekeliruan atau salah faham dalam kalangan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMM, Natasha Sim, mengesahkan beliau menghadiri mesyuarat bersama Hajiji tahun lalu, namun menegaskan dirinya hanya hadir sebagai tetamu jemputan.

Mengulas mengenai rakaman audio yang dikaitkan dengannya, beliau berkata akan membuat semakan lanjut dan menyifatkan kandungan video yang tular sebagai tidak tepat.

“Sebahagian besar fakta dalam video itu salah. Itu bukan suara saya pun dalam rakaman, tetapi wajah dan nama saya telah dimasukkan dalam video itu,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama