Ketua penerangan bahagian digesa proaktif sampaikan dasar kerajaan yang telah dilaksana - Hajiji

Hajiji ketika ditemui media selepas menghadiri Program Seminar Penerangan GASAK17: INILAH MASANYA bertempat di SICC di sini, hari ini. 


KOTA KINABALU: Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor menggesa agar ketua penerangan di semua bahagian memainkan peranan untuk menjelaskan tentang perjuangan parti dan dasar yang dilaksanakan kerajaan negeri kepada rakyat.

Menurutnya, langkah terbabit dimulakan dengan pertemuannya bersama semua ketua penerangan parti melibatkan Wanita, Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat.

“Kita mulakan persidangan hari ini dengan bertemu semua ketua penerangan dari seluruh peringkat.

“Kita mahu gerakkan jentera untuk beri penerangan kepada rakyat tentang perjuangan parti dan apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Seminar Penerangan ‘GASAK17: INILAH MASANYA #KitaJagaSabah’ bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji yang juga merupakan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu turut menegaskan gerak kerja jentera penerangan yang dirancang dengan strategi komunikasi berkesan mampu membantu pihaknya menghadapi cabaran berkaitan isu politik.

“Inilah yang kita minta supaya aktifkan semua jentera kita di setiap peringkat yang ada,”jelasnya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa sebarang hala tuju parti menyeluruh menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan dimaklumkan pada majlis penutupan program seminar yang dijadualkan Ahad ini.

“Tunggu sahaja ucapan yang akan saya sampaikan pada hari Ahad ini,” ujar beliau.

Seramai 400 orang peserta direkodkan yang hadir dalam program hari ini.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama