KOTA KINABALU: Budaya mengutamakan aspek keselamatan perlu sentiasa diperkasa dalam setiap aktiviti, khususnya membabitkan sukan ekstrem seperti selam skuba yang berisiko tinggi.
Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Josie Lai, berkata meskipun laut adalah khazanah alam yang tidak ternilai, ia turut menuntut tanggungjawab besar terutama dalam memastikan keselamatan dan kebajikan setiap penyelam.
“Selam skuba bukan sekadar hobi atau aktiviti rekreasi, ia adalah disiplin yang menuntut ilmu, persediaan rapi dan paling utama, kepatuhan terhadap protokol keselamatan.
“Program seperti ini amat baik kerana menghimpunkan komuniti selam skuba termasuk profesional serta peminat aktiviti ini bagi memperkukuh kesedaran berkaitan isu perubatan dan keselamatan ketika menyelam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Safety Medical Talk 1.0 anjuran Kelab Selam Sabah Dive Squad di Dewan Sekafi, Galeri Azman Hashim, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini.
Turut hadir, Presiden Kelab Dive Squad, Sim Fui; Penasihat Perubatan Selam Skuba, Lt Kol (Dr) Eugene Tan Choon Li; Penasihat Selaman Teknikal, PW1 Almudi Eskal; Ahli Pemuliharaan Marin, Monica Chin; serta Penolong Setiausaha Kanan Kementerian, Mohd Hisham Ujang.
Josie berkata, ceramah yang disampaikan meliputi topik berkaitan bantuan kecemasan asas hingga kepada kecederaan serta kecemasan perubatan ketika menyelam yang bukan sahaja bersifat informatif, malah boleh menyelamatkan nyawa pada masa hadapan.
Sementara itu, Mohd Hisham turut berkongsi mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan aktiviti selaman yang ditetapkan kementerian bagi memastikan aktiviti dijalankan mengikut garis panduan ditetapkan.
Dalam pada itu, Sim merakamkan penghargaan kepada kementerian dan semua penaja bersama atas kepercayaan dan sokongan berterusan terhadap usaha mempromosi amalan selaman yang selamat dan lestari.
Katanya, insiden-insiden yang berlaku membabitkan penyelam skuba di Sabah akhir-akhir ini mengingatkan kita bahawa risiko boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana kedalaman.
“Kita perlu sentiasa bersedia, bukan hanya sebagai individu tetapi sebagai satu komuniti yang saling menyokong.
"Kelab kami juga aktif mengeluarkan kenyataan awam di media arus perdana dan media sosial bagi menunjukkan komitmen kami terhadap pemeliharaan biodiversiti marin Sabah,” katanya.