![]() |
| Foto ihsan APMM |
KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kudat berjaya menyelamatkan nyawa seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang mengalami sesak nafas di Pulau Banggi, malam tadi.
Remaja berkenaan, Anisa Aman Shah yang menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan Karakit, perlu segera dipindahkan ke Hospital Kudat berikutan keadaannya yang dilaporkan semakin kritikal.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, misi pemindahan perubatan atau Medical Evacuation (MEDEVAC) itu dilaksanakan sebaik menerima panggilan kecemasan daripada pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Karakit.
"Bot Maritim Cenderawasih 10 diatur gerak dari Jeti Karakit membawa pesakit ke Jeti Marina Kudat.
"Sepanjang perjalanan, pesakit turut diiringi bapanya bersama seorang petugas kesihatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bot berkenaan tiba di Jeti Marina Kudat sekitar jam 11 malam sebelum pesakit dipindahkan ke ambulans untuk rawatan kecemasan di Hospital Kudat.
Dalam pada itu, Hasbullah menegaskan komitmen berterusan APMM dalam memberikan bantuan kepada komuniti maritim terutama di kawasan kepulauan yang sukar diakses dengan pengangkutan darat.
"APMM sentiasa bersedia dalam memberi bantuan kemanusiaan, khususnya melibatkan nyawa.
"Orang ramai yang melihat sebarang kecemasan di laut boleh segera menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau terus menghubungi talian kecemasan 999," katanya.
