KUANTAN: Kenyataan dibuat Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berhubung isu rasuah membabitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah adalah bersifat peribadi dan tidak mewakili pendirian rasmi parti.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh, menegaskan sehingga kini, ibu pejabat PKR tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung isu terbabit.
"Itu adalah pendirian peribadi Pengerusi PKR Sabah berhubung isu berkenaan.
"Bagi pihak Setiausaha Agung, saya ingin tegaskan bahawa tiada kenyataan rasmi daripada parti dalam hal ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan sebuah premis kecantikan di sini, hari ini.
Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mustapha yang menyatakan rasa terkejut susulan laporan portal berita Malaysiakini berhubung video dan bukti yang dikaitkan dengan enam lagi pemimpin politik negeri itu.
Sebelum ini, Mustapha dilaporkan berkata PKR Sabah terkejut dengan pendedahan terbabit dan sedang menilai kesan politik terhadap landskap semasa di negeri itu.
Malah, beliau menyatakan parti itu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan susulan isu berkenaan.
Bagaimanapun, kenyataan Mustapha itu menerima reaksi kurang senang daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) apabila Timbalan Setiausaha Agungnya, Datuk Armizan Mohd Ali menempelak kenyataan berkenaan.
Menurut Armizan yang juga Menteri KPDN dan Ahli Parlimen Papar, tindakan Mustapha disifatkan tergesa-gesa dan tidak menghormati proses siasatan yang sedang berjalan.
"Kalau sebut pasal isu dan tuduhan rasuah, banyak pemimpin daripada pelbagai parti yang terseret dengan tuduhan. Ada kalangan parti pembangkang, ada juga pemimpin dalam parti Kerajaan Perpaduan sendiri yang terheret dengan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.
"Pemimpin GRS tidak pernah membuat sebarang komen terbuka dan secara rasmi mengenai kes rasuah pemimpin parti lain.
"Walau kadang kita seolah-olah ditolak ke dinding, kita tidak melatah untuk membuat perbandingan dan memilih untuk membiarkan proses undang-undang berjalan,” katanya semalam.
Skandal rasuah itu dipercayai membabitkan beberapa tokoh kanan daripada dua parti komponen utama kerajaan negeri Sabah iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
Antara yang dinamakan termasuk Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; dua Timbalan Presiden, Datuk Ellron Alfred Angin dan Datuk Robert Tawik; serta Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; bekas Presiden, Tan Sri Dr Maximus Ongkili dan Timbalan Presiden, Datuk Jahid Jahim.
Jahid dalam kenyataan sebelum ini menafikan terbabit dalam sebarang salah laku dan menegaskan beliau tidak pernah menerima sebarang dana berkaitan lesen perlombongan.
Sementara itu, Jeffrey mendakwa wujud campur tangan pihak tertentu atau 'tangan tersembunyi' yang sengaja mahu menggugat kestabilan kerajaan negeri menerusi dakwaan tidak berasas itu.