KOTA KINABALU: Gagasan Rakyat menegaskan bahawa parti itu tidak pernah berniat menjadi 'abang besar' dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sebaliknya mengamalkan semangat inklusif dan kerjasama antara komponen.
Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Razali Razi, berkata pendekatan itu penting bagi mengekalkan keharmonian dan kestabilan dalam gabungan yang memimpin Kerajaan Negeri Sabah hari ini.
“Kita tidak mahu dilihat sebagai abang besar dalam GRS, kita belajar daripada pengalaman lalu.
"Sekarang ini penting untuk menjaga hubungan antara komponen, kerana semua pihak berperanan secara seimbang,” katanya ketika ditemui media selepas Persidangan Gagasan Rakyat Bahagian Darau, di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, hari ini.
Razali yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau berkata, kestabilan politik adalah keutamaan utama bagi memastikan dasar seperti Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat diteruskan secara konsisten.
"Kita perlu lihat gambaran yang lebih besar, kestabilan politik penting untuk pembangunan.
"Kita tidak boleh didorong oleh kepentingan peribadi, kita mahu semua komponen berfungsi bersama demi rakyat Sabah,” tegasnya.
Beliau juga menyatakan sokongan terhadap resolusi sayap-sayap parti yang mencadangkan nama beliau sebagai calon pilihan raya, namun menegaskan bahawa keputusan akhir tetap bergantung kepada kehendak rakyat dan kerjasama dalam GRS.
“Apa yang penting adalah rakyat mahu kita. Kita turun ke bawah dan pastikan mereka bersama kita. Gagasan Rakyat tetap terbuka dan bersedia menyokong siapa sahaja calon terbaik dalam GRS,” katanya.
Selain itu, Razali turut senada dengan pendirian Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali agar model inter-governmental diaplikasikan bagi menangani isu berkaitan Sabah
“Rundingan berkaitan kepentingan negeri mesti dibuat antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan, bukan sekadar antara parti ke parti.
"Parti lokal mesti menjadi teras di Sabah agar suara negeri tidak tenggelam dalam arus politik nasional,” jelasnya lagi.