KOTA KINABALU: Parti Warisan menegaskan bahawa parti itu tidak terlibat dalam penganjuran Himpunan Gempur Rasuah 2.0 yang berlangsung di Kota Kinabalu baru-baru ini.
Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, demonstrasi berkenaan dianjur sepenuhnya oleh Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) tanpa penglibatan mana-mana parti politik.
Katanya, parti Warisan tidak terlibat, dalam apa jua kapasiti, dalam penganjuran demonstrasi tersebut.
"Kami menghormati pendirian tegas pihak penganjur bahawa tiada parti politik harus terlibat dalam acara itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, Warisan telah mengeluarkan penafian rasmi secara terbuka melalui akaun media sosialnya bagi menjelaskan pendirian parti.
"Selain itu kami telah mengingatkan semua ahli supaya tidak memakai sebarang pakaian atau membawa bahan berkaitan parti jika hadir atas kapasiti peribadi.
“Saya sendiri telah mengarahkan pegawai-pegawai parti untuk memantau dan memastikan tiada sebarang lambang atau simbol Warisan dipamerkan sepanjang perhimpunan berlangsung,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menafikan penglibatan mana-mana ahli parti dalam insiden pembakaran banner yang berlaku pada hari kedua perhimpunan, sambil menyatakan bahawa maklumat awal menunjukkan tindakan tersebut dilakukan oleh para pelajar sendiri.
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan menentukan individu yang terlibat berdasarkan bukti yang ada,” katanya.
Mohd Azis turut menyatakan penghargaan terhadap keberanian dan kematangan sivik yang ditunjukkan oleh mahasiswa UMS dalam menyuarakan keprihatinan terhadap isu rasuah secara aman dan mematuhi undang-undang.
“Kita perlu berlaku adil dan tepat dalam menisbahkan tanggungjawab. Janganlah gerakan masyarakat sivil yang tulen ini dipolitikkan.
"Malaysia memerlukan lebih banyak suara bebas seperti Gerakan Mahasiswa UMS untuk sama-sama memantau dan menuntut pertanggungjawaban,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa usaha memerangi rasuah bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau ahli politik, tetapi tanggungjawab semua rakyat Malaysia.