![]() |
Ewon ketika berucap merasmikan Mini Karnival TEKUN MADANI Tamu Desa Inobong. |
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata skim itu menyasarkan usahawan mikro, khususnya penjaja dan peniaga kecil yang aktif berniaga di pasar dan tamu seluruh negeri.
“Ini membuktikan komitmen TEKUN Nasional dalam memperkasa ekonomi rakyat melalui pembiayaan mikro, terutama kepada komuniti luar bandar yang memerlukan sokongan modal untuk mengembangkan perniagaan.
"Sejak penubuhannya pada 1998 hingga April 2025, TEKUN Nasional telah menyalurkan RM10.31 bilion kepada 598,969 usahawan di seluruh negara, termasuk RM1.18 bilion kepada 65,939 usahawan di Sabah,” katanya ketika merasmikan Mini Karnival TEKUN MADANI di Tamu Desa Inobong, pada Ahad.
Menurut Ewon, di Parlimen Penampang sahaja, sebanyak RM36 juta disalurkan kepada 1,730 usahawan dan bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, seramai 36 usahawan menerima pembiayaan RM634,000 di kawasan ini.
"Dalam tempoh sama, sebanyak 1,663 pembiayaan berjumlah RM29.9 juta diluluskan di seluruh negeri.
“Pembiayaan ini bukan sahaja membantu perkembangan perniagaan, malah turut membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,” ujarnya.
Mengulas kejayaan promosi dan pembangunan keusahawanan, Ewon berkata lima siri Karnival TEKUN MADANI dilaksanakan di seluruh negara sepanjang 2024, termasuk di Sabah, Selangor dan Pulau Pinang.
“Karnival ini menjadi platform penting untuk promosi dan pemasaran usahawan tempatan serta membuktikan keberkesanan sokongan TEKUN kepada usahawan mikro dan PMKS.
“Keseluruhan siri karnival berjaya menjana jualan RM5.8 juta hasil penglibatan aktif usahawan yang berdedikasi dan inovatif,” jelasnya.
Katanya, kejayaan itu turut disokong kerjasama strategik bersama TikTok Shop Malaysia yang membuka akses lebih luas dalam pasaran digital.
Bagi tahun ini, Karnival TEKUN MADANI pertama diadakan sempena Pesta Kaamatan 2025 di Kota Belud, dengan penyertaan 142 usahawan dan mencatat jualan sebanyak RM152,000 sepanjang tiga hari berlangsung.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)