Sabah perkukuh dasar pembangunan menerusi Hala Tuju SMJ

Hajiji (kiri) ketika menyampaikan ucapannya.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah komited memperkukuh pelaksanaan dasar pembangunan inklusif menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi menjamin kemajuan berterusan dan kesejahteraan rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata dasar itu telah menunjukkan impak positif sejak dilaksanakan termasuk dalam pemulihan ekonomi, pelaburan, pertanian, pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat. 

“Perkembangan pelaburan yang semakin rancak, hasil negeri juga meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ini bukti keberkesanan pendekatan kerajaan,” katanya dalam Ucapan Menjunjung Kasih sempena Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat Negeri Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-74 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Sabtu.

Jelas Hajiji, sektor pertanian turut diberi tumpuan dengan inisiatif seperti penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) serta Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) yang menyasar peningkatan Tahap Sara Diri (SSL) beras kepada 60 peratus menjelang 2030.

Katanya, dalam aspek pembangunan modal insan, kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan Majlis TVET Sabah bagi menyelaras latihan kemahiran teknikal dan vokasional yang relevan dengan keperluan industri semasa.

“Kita mahu memastikan belia Sabah dilengkapi ilmu dan kemahiran yang relevan untuk menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan pentingnya hubungan erat dengan kerajaan persekutuan dalam memastikan Sabah tidak ketinggalan dalam arus pembangunan nasional.

Menurutnya, kerajaan negeri amat menghargai pelbagai bantuan dan inisiatif Persekutuan, termasuk dalam aspek infrastruktur, kesihatan, pendidikan dan keselamatan.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas komitmen kerajaan dalam mempertahankan hak dan kedaulatan Sabah, termasuk kejayaan menolak tuntutan pihak luar terhadap negeri ini di peringkat antarabangsa.

“Kejayaan Malaysia menangkis tuntutan asing membuktikan kedaulatan Sabah kekal utuh dalam Persekutuan Malaysia, sekali gus memberi keyakinan kepada rakyat,” katanya lagi.

Hajiji juga merakamkan ucapan junjung kasih dan setinggi-tinggi tahniah kepada Tun Musa sempena ulang tahun kelahiran rasmi ke-74 dan mendoakan agar beliau serta Toh Puan Faridah Tussin sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik serta dilimpahi keberkatan.

Majlis penuh istiadat itu turut dihadiri pemimpin tertinggi kerajaan negeri, barisan penerima darjah kebesaran, ketua-ketua jabatan serta dif jemputan.


(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama