![]() |
Tun Musa (kanan) menyampaikan anugerah SPDK kepada Jahid. |
KOTA KINABALU : Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim mendahului senarai penerima Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) dalam Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran dan Bintang-bintang serta Pingat-pingat Negeri Sabah.
Istiadat penganugerahan tersebut diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-74 Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman, pada Sabtu.
Selain Jahid, dua individu juga menerima anugerah yang membawa gelaran "Datuk Seri Panglima" iaitu Ahli Jawatankuasa Badan Penasihat Khas Menteri Kewangan Datuk Ahmad Fuad Md Ali dan usahawan, Datuk Lim Yu Ming.
Manakala, 33 individu lain menerima pingat Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran "Datuk" antaranya, Ahli Dewan Negara Anna Bell @ Suzieana Perian, Ahli Parlimen Labuan Dr Suhaili Abdul Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan Jannie Lasimbang dan pemberita, Emin @ Emin Madi.
Penerima PGDK lain antaranya ialah Panglima Briged Ke-13 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Jagjit Singh A/L Indar Singh, Bendahari Universiti Malaysia Sabah (UMS) Badrul Hisham Ismail, dan Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UMS, Profesor Dr. Ismail Ali.
Turut tersenarai menerima PGDK ialah Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Alexander Siew How Wai, Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah SAC Abdul Rahman Ishak, Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS), Dr. Maklarin Lakim dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Maria Suleiman
Bagi anugerah pingat Jaksa Pendamai pula, lima individu menerima kurniaan tersebut antaranya peguam, Josephine Wan-Wen Hadikusumo, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy a/l Y. Subbiah dan Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM Cawangan Sabah, Prof Ts. Dr. Imbarine Bujang.
Sementara itu, lima individu lagi menerima pingat Ahli Setia Darjah Kinabalu antaranya, Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UMS, Profesor Dr. Jualang Gansau dan pensyarah fakulti tersebut, Profesor Dr. Justin Sentian.
Empat individu menerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK) antaranya dua Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Sabah, Ade Rizal Pahlevi Mohd Zen dan Surayah Ramlee manakala tiga individu lain menerima pingat Bintang Setia Kinabalu.
Secara keseluruhan, seramai 55 individu menerima anugerah masing-masing pada sesi pertama Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran dan Bintang-bintang serta Pingat-pingat Negeri Sabah.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)