Nilai jualan E-Dagang Malaysia cecah RM1.09 trilion – Armizan

Armizan sewaktu berucap di Program Pendigitalan Perniagaan 2025 Peringkat Negeri Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, hari ini.

KOTA KINABALU: Nilai jualan sektor e-dagang di Malaysia terus mencatat prestasi cemerlang apabila mencecah RM1.09 trilion pada tahun 2023, berbanding RM1.07 trilion pada tahun sebelumnya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata peningkatan enam peratus itu menunjukkan potensi besar e-dagang sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara dalam jangka panjang.

“Pendapatan sektor e-dagang ini telah menembusi paras trilion. Pada 2023 sahaja, ia menyumbang sebanyak RM248.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu 13.6 peratus daripada keseluruhan KDNK negara,” katanya.

Menurut beliau, trend ini jelas menunjukkan sektor perdagangan digital bukan sahaja berkembang pesat dari segi nilai, tetapi juga menjadi antara komponen terpenting dalam ekosistem ekonomi digital Malaysia.

Katanya, bagi memastikan perkembangan itu terus berlaku secara mampan, kerajaan sedang merangka dasar dan kerangka perundangan baharu melibatkan pelbagai pihak termasuk pemain industri.

"Kita sedang kumpul dapatan daripada industri termasuk amalan terbaik negara lain. Pada 17 Julai ini, saya sendiri akan adakan sesi libat urus bersama semua stakeholders berkaitan," tambahnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pendigitalan Perniagaan 2025 Peringkat Negeri Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, hari ini.

Tambah Armizan, sasaran kerajaan adalah untuk mewujudkan ekosistem e-dagang yang kondusif, adil dan mampu melonjakkan lagi sumbangan sektor itu kepada ekonomi negara secara menyeluruh.

"Kerangka baharu ini bukan untuk menyekat, tetapi untuk menggalakkan perkembangan perdagangan digital secara tersusun dan melindungi pengguna serta usahawan," ujarnya.




Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama