PENAMPANG: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung penularan video berdurasi satu minit 34 saat yang memaparkan seorang lelaki dipercayai melakukan amang seksual terhadap pelajar perempuan berusia 16 tahun di Putatan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.09 malam tadi.
Katanya, video terbabit mula tular di media sosial sejak awal pagi semalam dan mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata mengecam tindakan suspek.
“Kes ini masih dalam siasatan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara dan sebatan jika sabit kesalahan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan hak mangsa,” katanya.
Sammy turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Kalista Demson di talian 011-33980319.
Terdahulu, tular video memaparkan seorang wanita berang di sebuah kedai runcit selepas mendakwa anak perempuannya menjadi mangsa perbuatan tidak senonoh seorang lelaki.
Susulan penularan video berkenaan, netizen mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit.