![]() |
Khairul Firdaus ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Mesyuarat Tahunan PGRS N26 Moyog, di sini hari ini. |
PENAMPANG: Kerajaan negeri perlu memberi peluang kepada pemimpin baharu dalam barisan kepimpinan Sabah untuk merealisasikan pembaharuan yang lebih efektif menurut Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.
Katanya, peranan pemimpin baharu penting bagi menyampaikan mesej kerajaan yang lebih jelas kepada rakyat dengan pendekatan mereka.
“Saya tidak bercerita berkenaan kepimpinan orang ataupun anak-anak muda, tetapi Sabah memerlukan barisan kepimpinan baharu, bukan sekadar anak muda, tetapi pemimpin yang dapat menyumbangkan jasa atau memberikan tenaga pemikiran.
"Perubahan drastik hanya dapat dicapai apabila kombinasi antara muka baharu dan mereka yang berpengalaman diwujudkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sejurus selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah N.26 Moyog di Ballroom ITCC, Penampang, di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau mengingatkan bahawa Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sebagai sebuah parti politik yang menerajui kepimpinan kerajaan negeri harus kekal relevan dalam memenuhi keperluan rakyat negeri ini.
“Rakyat Sabah terbuka untuk mencuba parti baharu. Kita tidak boleh dilihat sebagai kalah dalam memahami kebutuhan rakyat Sabah.
"Gagasan Rakyat mesti memahami dan memenuhi keperluan ini jika ingin kekal diterima,” jelasnya.