GRS tegaskan hubungan Sabah–Persekutuan perlu bersifat 'inter-governmental' bukan 'intra-party'

Armizan (hadapan tengah) sewaktu ditemui media selepas merasmikan Persidangan Tahunan PGRS bagi Bahagian DUN Darau di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan perlu bersifat 'inter-governmental' dan bukannya berpaksikan pendekatan 'intra-party' yang hanya mementingkan agenda parti semata-mata.

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, model hubungan dua peringkat kerajaan itu penting bagi memastikan segala perbincangan dan rundingan berkaitan hak serta kepentingan negeri Sabah dapat dibincangkan secara adil dan berstruktur.

“Isu-isu berkaitan hak dan kepentingan negeri ini dibentuk dan dibincangkan dalam forum dua peringkat kerajaan, iaitu kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, dan bukannya dalam bentuk intra-parti,” katanya.

Menurutnya lagi, apabila parti nasional menguasai kedua-dua peringkat negeri dan Persekutuan, kecenderungannya adalah meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan, sekaligus berisiko menenggelamkan agenda negeri.

GRS, kata beliau, mengekalkan pendirian bahawa parti tempatan wajar menjadi teras kepada kerajaan negeri manakala parti nasional boleh terus memimpin di peringkat Persekutuan.

"Kita tidak menolak kerjasama dengan parti-parti nasional, dengan syarat mereka perlu menerima pendirian kita bahawa teras kepada kerajaan negeri perlulah parti lokal.

"Hak dan kepentingan negeri mesti menjadi fungsi utama kerajaan negeri," tegas Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Tahunan PGRS bagi Bahagian DUN Darau di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa Sabah dan Sarawak memiliki kedudukan khas dalam Perlembagaan Persekutuan, justeru wajar diberi ruang yang lebih luas untuk memperkukuh kuasa autonomi dan dasar berpaksikan aspirasi negeri.

"Kita tidak boleh hanya bergantung kepada individu tertentu di peringkat Persekutuan.

"Kita perlu ada struktur yang ampuh, iaitu kerajaan negeri yang diterajui parti lokal, yang akan memastikan rundingan mengenai kepentingan negeri tidak tenggelam dalam kesetiaan kepada parti nasional,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama