Menjaga kejayaan lebih sukar daripada mencapainya – Tun Musa

Tun Musa ketika menyampaikan perutusan khas.

KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menegaskan bahawa kejayaan yang dicapai negeri ini perlu dipertahankan menerusi perancangan rapi, pelaksanaan berkesan dan komitmen berterusan.

Beliau berkata, usaha pembangunan tidak boleh terhenti, sebaliknya perlu terus diperkukuh agar kemajuan yang dikecapi berkembang secara mampan dan inklusif.

“Memang benar, mengekalkan kejayaan adalah jauh lebih mencabar daripada mencapainya. Ia memerlukan perancangan yang teliti, pelaksanaan yang berkesan serta iltizam yang berterusan.

"Justeru itu, kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat amat penting bagi memastikan pencapaian yang telah diraih dapat dipertahankan dan ditambah baik demi manfaat generasi kini dan akan datang,” katanya.

Beliau menyampaikan perutusan khas itu semasa sesi pertama Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat Negeri Sabah, sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-74 beliau, pada Sabtu.

Menurut Tun Musa, pendekatan yang progresif dan berpandangan jauh amat diperlukan bagi mendepani perubahan landskap ekonomi dan kemajuan teknologi yang berlaku pantas.

"Kita perlu sentiasa bersedia dan menyesuaikan diri agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan global yang semakin mencabar.

"Bagi menghadapi semua cabaran itu dan perubahan landskap ekonomi semasa, kita memerlukan pendekatan yang progresif dan berpandangan jauh agar negeri ini terus membangun dan kekal makmur.

"Ini termasuklah penggalakan inovasi teknologi dan pembangunan modal insan yang berkualiti serta pengukuhan sektor ekonomi yang berdaya tahan. Semua ini menuntut sikap yang terbuka terhadap perubahan serta keazaman yang tinggi untuk terus maju," ujarnya.

Tun Musa juga menekankan pentingnya menjulang integriti dalam setiap lapisan pentadbiran bagi mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.

“Melalui kepimpinan yang berwibawa dan sokongan rakyat, Sabah mampu bersaing dengan negeri-negeri lain dalam pelbagai bidang pembangunan.

“Jika kita berusaha dengan gigih, negeri ini mampu berdiri seiring dengan negeri-negeri lain dalam pelbagai aspek pembangunan, Insya-Allah,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat agar terus memelihara perpaduan serta mengamalkan nilai hormat-menghormati bagi mengekalkan keharmonian negeri.

“Perpaduan merupakan asas kekuatan dan keharmonian yang menjadi tunjang kepada keamanan serta kemajuan negeri,” katanya.

Beliau berharap nilai muafakat dan semangat kebersamaan terus dipupuk agar Sabah kekal aman, makmur dan berdaya saing, sekali gus dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

Hadir sama, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor diiringi isteri Datin Seri Panglima Julia Salag, Menteri-menteri Kabinet Negeri , Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Yang Amat Arif Tan Sri Abdul Rahman Sebli.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama