![]() |
Bung. |
KUALA LUMPUR: Peningkatan berkali ganda jumlah keahlian UMNO di Sabah daripada sekitar lebih 300,000 ahli pada 2018 kepada lebih 600,000 ahli pada hari ini suatu pencapaian yang membanggakan, kata Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Memetik sumber UMNO Online, Bung berkata peningkatan keahlian tersebut menjadi ancaman kepada parti lain di Sabah walaupun partinya dilabel pengkhinat dan parti Malaya oleh pihak lawan.
“Sebenarnya UMNO Sabah ini menjadi ancaman kepada parti-parti yang lain kerana pertama, walaupun kita dilabel dengan persepsi kononnya kita ini parti Malaya, dan dilabel kita ini pangkhianat namun realitinya dari segi keahlian kita makin meningkat.
“Apabila UMNO hampir dibubarkan pada 2018 yang lalu, keahlian kita tinggal hanya 390,000 tapi hari ini keahlian UMNO Sabah telah mencecah lebih 600,000 ahli. Jadi ini menunjukkan bahawa setiap hari akan ada sahaja mereka yang menyertai UMNO,” katanya
Bung seterusnya menambah perkara berkenaan juga dapat dilihat menerusi program Gerak17 yang dilaksanakan di peringkat bahagian dan juga Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila memperlihatkan sambutan yang cukup menggalakkan.
“Dan maklum balas daripada program-program yang kami laksanakan melalui Gerak17 amat positif. Kita telah menjelajah 26 DUN dan hasilnya, Alhamdulillah amat baik sekali dengan penyertaan serta sokongan masyarakat setempat.
“Ketika saya berada di Sebatik bersama kepimpinan UMNO yang lain, masyarakat setempat cukup ramai dan kesanggupan mereka bersama-sama dalam program berkenaan amat kita hargai. Ini membuktikan bahawa sokongan terhadap UMNO-BN.
“Masing-masing turun bersama dengan kita sebab mereka telah rindu UMNO selama ini yang hari ini tidak lagi menjadi kerajaan. Mereka merasakan sudah sampai masanya untuk mereka menaikkan UMNO itu sendiri bukan sahaja di Sebatik, tetapi di semua kawasan, insya-Allah,” katanya.