PUTATAN: Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) berperanan penting sebagai tonggak utama antara rakyat dan kerajaan.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, peranan tersebut penting dalam memastikan segala dasar kerajaan dapat disampaikan dengan berkesan.
"Selain daripada itu, unit ini juga berfungsi sebagai mata dan telinga kepada pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing, sekali gus memainkan peranan penting dalam menyampaikan dasar-dasar kerajaan khususnya di bawah pelan Sabah Maju Jaya.
"Petugas UPPM adalah agen penyampai kepada masyarakat tentang segala dasar, terutamanya dalam menterjemah hala tuju Sabah Maju Jaya kepada komuniti setempat," katanya ketika berucap pada Majlis Iftar UPPM Negeri Sabah Peringkat Parlimen Putatan di Dewan Sri Putatan, pada Isnin.
Beliau turut menegaskan kepentingan bagi UPPM untuk sentiasa cakna terhadap isu-isu setempat dan bertindak proaktif dalam menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
"Dengarkanlah dan lihatlah isu-isu setempat, apa sahaja yang perlu diberi perhatian harus dilaksanakan dengan penuh komitmen dan dedikasi," tambahnya.
Shahelmey juga turut menghargai usaha berterusan yang ditunjukkan oleh para pemimpin masyarakat terutama UPPM dibawah Parlimen Putatan, termasuk ADUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah yang terus giat menyantuni rakyat dengan pelbagai inisiatif dan bantuan yang diperkenalkan oleh kerajaan.
Katanya, selain bantuan kerajaan program kolaborasi antara UPPM Negeri dengan Kim Teck Cheong (KTC) Berhad dalam menyantuni golongan kurang berkemampuan melalui tanggungjawab sosial korporat harus dicontohi dan diteruskan pada masa akan datang.
"Sumbangan yang diberikan bukan sahaja pada hari ini tetapi akan diteruskan dari semasa ke semasa," ujarnya.
Pada majlis tersebut Shahelmey turut menyampaikan sumbangan tunai dan bakul makanan kepada 40 orang penerima yang terdiri daripada golongan asnaf, warga emas, orang kurang upaya dan ibu tunggal serta meraikan 500 para pemimpin masyarakat sekitar Parlimen Putatan dalam majlis berbuka puasa.
Hadir sama, Pengarah UPPM Negeri Sabah, Datuk Awang Kadin Tang serta Pengarah KTC Berhad, Datuk Dexter Lau.
( JABATAN PENERANGAN SABAH )