PENAMPANG: Kempen Pengurangan Penggunaan Beg Plastik di daerah Penampang akan dilaksanakan secara rasmi bermula 1 April 2025.
Majlis Perbandaran Penampang (MPP) dalam satu kenyataan memaklumkan kempen itu bertujuan mengurangkan penggunaan beg plastik sekali guna di daerah tersebut dan selaras dengan Kerangka Kerja Kelestarian Plastik 2021–2030 oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar.
Katanya, inisiatif ini turut menyokong Kempen ‘Kata Tidak Pada Beg Plastik Sekali Guna’ yang dilancarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
MPP turut menggesa para peniaga untuk tidak menyediakan beg plastik atau menyediakan alternatif seperti beg kertas, kain, atau jaring yang boleh digunakan semula ketika berniaga.
“Orang awam disarankan untuk membudayakan amalan membawa beg sendiri ketika berbelanja di mana-mana premis perniagaan di Daerah Penampang,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook Majlis Perbandaran Penampang, hari ini.
Tambahnya, MPP turut menegaskan agar semua premis perniagaan untuk memaparkan notis kempen ini di kaunter pembayaran masing-masing, bagi menyokong usaha menyedarkan masyarakat tentang pentingnya pengurangan penggunaan beg plastik sekali guna.