PENAMPANG: Polis berjaya mengenal pasti tiga pemandu kereta yang memandu secara berbahaya dengan memotong kenderaan lain sehingga boleh menyebabkan kemalangan di Jalan Penampang-Tambunan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video berdurasi 27 saat memaparkan insiden pemanduan berbahaya yang tular di media sosial. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 16 Mac 2025 sekitar jam 1.41 petang, melibatkan tiga kenderaan yang memotong sebuah lori di selekoh garisan berkembar.
“Tindakan itu menyebabkan kenderaan dari arah bertentangan terpaksa berhenti bagi mengelak perlanggaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, ketiga-tiga pemandu berkenaan telah berjaya dikesan dan kenderaan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Amrin Mohamad Arif di talian 017-6638278.
“Orang awam dinasihatkan sentiasa berhati-hati di jalan raya, bersabar dan mematuhi undang-undang lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” tambahnya.