Kiulu laksana projek perintis data pelancongan luar bandar

Joniston sekitar pelancaran aplikasi pengumpulan data pelancongan luar bandar Sabah bertempat di Pusat Informasi Pelancongan Kiulu - ihsan STB

KIULU: Daerah kecil Kiulu telah dipilih untuk melaksanakan projek perintis pengumpulan data pelancongan digital bertujuan mengukuhkan usaha pendataan ketibaan pelancong di kawasan luar bandar Negeri Sabah.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar,  Datuk Joniston Bangkuai, berkata inisiatif ini merupakan langkah penting dalam mempertingkatkan kaedah pengumpulan, analisis, dan penggunaan data pelancongan yang lebih efektif.

“Pengumpulan data yang tepat amat penting untuk memahami keadaan sebenar dalam industri pelancongan luar bandar serta berasaskan komuniti dan merangka strategi yang sesuai.

“Kejayaan projek perintis di Kiulu akan membuka peluang untuk diperluaskan ke daerah lain di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam pelancaran aplikasi pengumpulan data pelancongan luar bandar Sabah bertempat di Pusat Informasi Pelancongan Kiulu di sini, hari ini.

Joniston, yang juga pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), berkata projek ini selari dengan usaha kerajaan untuk mengintegrasikan teknologi dalam sektor pelancongan luar bandar bagi memastikan ketibaan pelancong dapat direkodkan dengan lebih menyeluruh.

Menurutnya, data terkini yang dikumpul oleh pihak STB dari Januari sehingga November 2024 menunjukkan bahawa 85 pengusaha pelancongan komuniti dari 18 daerah telah menyerahkan data mereka.

Berdasarkan rekod, hanya 269,154 pelawat yang direkodkan mengunjungi produk pelancongan komuniti sehingga November 2024, dengan anggaran pendapatan melebihi RM6.5 juta.

Bagaimanapun, Joniston berkata angka ini mungkin lebih tinggi kerana masih terdapat kawasan yang belum mempunyai sistem pendataan yang komprehensif.

“Projek pendigitalan data ini bukan sahaja dapat mengatasi masalah kekurangan data yang tepat, malah membantu kita mengenal pasti kawasan yang perlu diberi perhatian dan pelaburan untuk memperkembangkan industri pelancongan luar bandar.

“Ia juga membolehkan Lembaga Pelancongan Sabah memahami pola pelancong dengan lebih mendalam dan meningkatkan strategi promosi serta perancangan masa hadapan,” katanya.

Projek ini adalah hasil kerjasama strategik antara STB dan Persatuan Pelancongan Kiulu, dengan aplikasi pengumpulan data ini dibangunkan oleh pihak Datablu.

Kiulu dipilih untuk inisiatif ini kerana ia telah dijadikan projek perintis bagi pembangunan pelancongan luar bandar dan berasaskan komuniti pada tahun 2014 bersama Kadamaian.

Dalam sesi taklimat, Pengarah Datablu, Dharmik Sheth berkata, aplikasi ini dipercayai merupakan inisiatif pertama di Malaysia yang memberi fokus khusus kepada pengumpulan data pelancongan luar bandar berdasarkan pengetahuanya.

“Kiulu, atau Sabah secara keseluruhannya, berpotensi menjadi model untuk diikuti dalam pembangunan pelancongan luar bandar melalui pengumpulan dan pengurusan data yang efektif,” katanya.

Aplikasi ini dibangunkan untuk memudahkan pengusaha pelancongan mengurus aktiviti mereka dengan lebih profesional melalui penjanaan e-resit automatik dan pengurusan aktiviti yang lebih sistematik, antara lain.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffery Jimit, dan Presiden Persatuan Pelancongan Kiulu, Mejin Maginggow.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama