Pematuhan peniaga bazar Ramadan di Tawau meningkat

Shameer, ketika mengadakan operasi pemantauan di bazar Ramadan Sabindo, Tawau.


TAWAU: Operasi pemantauan kebersihan dan keselamatan makanan di bazar Ramadan yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau mendapati tahap pematuhan peniaga semakin baik.

Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr Shameer Khan Sulaiman berkata jumlah kompaun yang dikeluarkan setakat ini jauh lebih rendah berbanding tahun lalu.

Katanya, sebanyak 305 premis makanan di bazar Ramadan di sekitar Tawau dan Kalabakan telah diperiksa sejak awal Ramadan lagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati rata-rata peniaga mematuhi peraturan dan garis panduan kebersihan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Setakat ini, hanya 35 kompaun telah dikeluarkan dan semuanya melibatkan kesalahan kecil seperti tiada suntikan typhoid, kebersihan diri tidak dijaga, kuku panjang, dan peralatan tidak kemas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan operasi pemantauan di bazar Ramadan Sabindo, di sini, semalam.

Menurutnya, pemantauan ini penting bagi mencegah kes keracunan makanan, terutamanya menjelang musim perayaan yang sering menyaksikan peningkatan kes penyakit bawaan makanan.

“Setiap tahun, operasi ini dijalankan untuk memastikan makanan yang dijual di bazar Ramadan selamat untuk pengguna.

“Dari segi pemerhatian tahun ini, peniaga lebih berdisiplin dalam menjaga kebersihan makanan dan kawasan perniagaan mereka,” katanya.

Dr. Shameer Khan turut menjelaskan bahawa operasi ini dijalankan setiap hari dengan 60 pegawai kesihatan turun padang untuk melakukan pemeriksaan di bazar Ramadan, restoran dan gerai kecil di tepi jalan.

“Di Tawau, terdapat 14 tapak bazar Ramadan, dan pejabat kesihatan juga bertanggungjawab memantau kawasan dari Kalabakan hingga ke Tawau. 

“Selain bazar utama, gerai-gerai kecil yang dibuka di tepi jalan turut diperiksa bagi memastikan tiada yang mengabaikan kebersihan makanan,” katanya.

Selain penguatkuasaan katanya, sesi pendidikan juga diadakan untuk mendidik peniaga tentang kepentingan kebersihan dan amalan terbaik dalam penyediaan makanan.

Beliau turut menegaskan bahawa pemantauan akan diteruskan secara berkala sehingga akhir Ramadan bagi memastikan tahap kebersihan dan keselamatan makanan kekal tinggi sepanjang bulan puasa.

“Setakat ini, Tawau belum menerima sebarang laporan kes keracunan makanan yang berpunca daripada bazar Ramadan, satu perkembangan positif yang mencerminkan keberkesanan operasi pemantauan yang dijalankan.

“Kami akan terus memastikan tahap kebersihan bazar Ramadan terjaga dan makanan yang dijual bukan sahaja enak, tetapi juga selamat untuk dinikmati oleh pengunjung,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama