DBKK komited pantau kehadiran buaya di perairan sekitar Kota Kinabalu

Operasi pemantauan buaya di perairan sekitar bandaraya Kota Kinabalu - ihsan DBKK.

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jawatankuasa Pengurusan Ancaman Buaya Kepada Masyarakat DBKK komited dalam melaksanakan kerja pemantauan buaya di perairan sekitar bandaraya Kota Kinabalu.

Sejak ditubuhkan secara rasmi pada 30 Januari tahun lepas, sebanyak dua siri operasi pemantauan buaya telah dilaksanakan.

Operasi Pemantauan Buaya di Bandaraya Kota Kinabalu Siri 1/2024 telah diadakan pada 29 Februari hingga 1 Mac 2024 dimana lokasi operasi pemantauan buaya tertumpu di Sungai Darau, Sungai Kalansanan dan beberapa kawasan ‘hotspot’ yang dikenal pasti.

"Manakala, Operasi Pemantauan Buaya di Bandaraya Kota Kinabalu Siri 2/2024 telah diadakan pada 19 hingga 20 Ogos 2024, berikutan isu kehadiran buaya di laut berdekatan pantai Tanjung Lipat yang tular di media sosial.

"Menerusi hasil operasi pemantauan buaya Siri 1, jawatankuasa telah mengenal pasti lokasi yang mempunyai kehadiran populasi buaya, iaitu di Sungai Darau dan Bengkel Depoh, DBKK.

"Susulan itu, operasi pemantauan buaya Siri 2 tertumpu di Sungai Darau dan sungai berhampiran Bengkel Depoh, DBKK.

"Operasi susulan akan diadakan pada setiap suku tahunan yang bertujuan untuk memantau populasi buaya di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu," jelas dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan.

Disamping itu, kenyataan terbanit turut menjelaskan Jawatankuasa Pengurusan Ancaman Buaya kepada masyarakat DBKK juga bertindak dengan menjalankan kajian anggaran dan bilangan buaya di kawasan bawah seliaan DBKK.

Selain itu, jawatankuasa terbabit turut memasang tanda amaran buaya di beberapa kawasan yang dikenal pasti mempunyai kehadiran ancaman buaya, memantau operasi secara berjadual dan pemasangan CCTV di kawasan ‘hotspot’.

"DBKK akan sentiasa komited dalam usaha pemantauan kehadiran buaya di perairan sekitar bandaraya Kota Kinabalu, termasuk menjalin kerjasama dengan agensi berwajib dalam memastikan keselamatan warga bandar raya sentiasa menjadi keutamaan.

"Sementara itu, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kehadiran buaya di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu dinasihatkan untuk segera membuat laporan kepada pihak berkuasa," ujarnya.














Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama