Kerajaan Persekutuan terus pastikan keselamatan Sabah - Khaled

Tun Musa (tiga kanan) bergambar bersama Khaled dan rombongan.

KOTA KINABALU : Kerajaan persekutuan terus memastikan keselamatan Sabah dengan memperkukuhkan pasukan keselamatan dan melaksanakan pelbagai projek strategik.

Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah tersebut bertujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang ancaman sama ada dari dalam atau luar negara.

"Kekuatan anggota angkatan tentera di Sabah kini berjumlah kira-kira 20,000 orang dengan tambahan 3,000 anggota untuk operasi tertentu.

"Selain daripada kehadiran pasukan keselamatan, kerajaan pusat melalui Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah menyalurkan dana sebanyak RM2 bilion bagi melaksanakan beberapa projek penting di Sabah.

"Projek yang sedang berjalan termasuk pembinaan kem tentera seperti Kem Paradise dan Kem Sahabat di Lahad Datu, pembinaan rumah keluarga anggota tentera serta menaik taraf infrastruktur dan penyelenggaraan pos kawalan sempadan," ujarnya.

Menurut Khaled, dalam usaha memperkukuh kawalan keselamatan di kawasan sempadan, kerajaan juga telah merancang pembinaan tiga pos kawalan baharu di Sabah.

"Status projek tersebut kini dalam peringkat perolehan sebelum proses tender dijalankan dalam tempoh terdekat," jelasnya selepas kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.

Kunjungan tersebut adalah untuk mewujudkan hubungan yang lebih rapat antara kerajaan negeri dan juga MINDEF di samping memaklumkan Tun Musa tentang keadaan dan situasi keselamatan di Sabah.

Hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD) Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md. Lepi dan Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris.


(JABATAN PENERANGAN SABAH)



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama