Aktiviti bangunkan sahur perlu dilihat dari perspektif positif

Nizam (empat dari kiri) ketika menyertai aktiviti bangunkan sahur bersama penduduk kampung di Kampung Titingan Tawau. 

TAWAU: Aktiviti bangunkan sahur yang banyak dilakukan di kampung-kampung di daerah Tawau bukan sahaja berjaya menyemarakkan semangat Ramadan, malah turut menyatupadukan masyarakat setempat.

Terdahulu, aktiviti bangunkan sahur ini mendapat pelbagai reaksi netizen di media sosial kerana ada yang beranggapan budaya ini berasal dari negara jiran dan tidak wajar diwujudkan di Sabah.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menegaskan bahawa aktiviti ini perlu dilihat dari sudut positif kerana ia menghidupkan amalan yang semakin dilupakan.

“Walaupun ada pandangan negatif terhadap aktiviti ini, hakikatnya ia membawa manfaat besar kepada masyarakat Islam di daerah Tawau.

“Aktiviti ini bukan sekadar membangunkan sahur, tetapi menggalakkan masyarakat memahami kepentingan menghidupkan bulan Ramadan dengan amalan yang dianjurkan oleh agama iaitu bersahur,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika menyertai aktiviti bangunkan sahur di Kampung Titingan, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Nizam juga optimis bahawa aktiviti ini memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan hubungan silaturahim antara penduduk kampung.

“Aktiviti ini bukan sahaja menghidupkan amalan sahur dalam kalangan masyarakat, tetapi juga menjadi platform terbaik untuk menyatupadukan penduduk daripada pelbagai latar belakang.

“Kita dapat lihat bagaimana masyarakat yang terdiri daripada pelbagai suku kaum dan blok perumahan dapat bersatu hati demi menjayakan aktiviti ini. Inilah semangat perpaduan yang perlu kita teruskan,” katanya.

Katanya, kita dapat melihat kegembiraan dan keserasian dalam kalangan penduduk yang bersama-sama membangunkan sahur ini.

“Ini satu budaya yang harus diperkasakan kerana ia bukan sahaja menyemarakkan ibadah Ramadan tetapi juga mengukuhkan semangat kejiranan,” katanya.

Beliau berharap agar lebih banyak kampung dan komuniti di Sabah dapat menganjurkan program seumpama ini pada masa hadapan bagi memastikan semangat perpaduan terus mekar dalam kalangan rakyat.

“Ramadan bukan sekadar bulan ibadah individu, tetapi juga bulan untuk kita memperkukuhkan hubungan sesama insan.

“Semoga aktiviti ini menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus bersatu dan memelihara nilai-nilai murni dalam kehidupan,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama