Buaya ditembak mati di Pantai Tanjung Aru 3

 

Buaya ditembak mati di Pantai Tanjung Aru 3. (Foto ihsan: APM Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU: Seekor buaya dengan panjang lebih kurang empat kaki ditembak mati di Pantai Tanjung Aru 3, di sini lebih kurang jam 3.30 petang tadi.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu dalam satu kenyataan memaklumkan pasukan pemantauan melihat seekor buaya berada di tembok berhampiran pantai berkenaan.

"Setelah penilaian keselamatan dibuat, dua das tembakan telah dilepaskan oleh pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) tepat ke arah buaya tersebut.

"Buaya berjaya ditangkap dan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan selanjutnya. Operasi pemantauan buaya ditangguh pada jam 4.30 petang," katanya.

Tambah APM Kota Kinabalu, operasi pemantauan buaya akan disambung semula pada jam 9.00 malam ini berikutan maklumat sahih diperolehi daripada petugas pemantauan yang memaklumkan terdapat lebih daripada seekor buaya berada di Pantai Tanjung Aru.

"Orang awam yang berkunjung di Pantai Tanjung Aru dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak digalakkan membuat aktiviti di air sehingga operasi tamat sepenuhnya," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama