![]() |
Suasana sepanjang acara khatam Al-Quran. |
KOTA KINABALU: Bersempena dengan Majlis Istiqbal Nuzul Quran Peringkat Negeri Sabah 1446H/2025M, seramai 550 jemaah dari sekitar Kota Kinabalu menyertai acara khatam Al-Quran.
Para jemaah terdiri daripada penjawat awam negeri dan persekutuan, sekolah agama, tahfiz, jawatankuasa masjid serta kelas bimbingan saudara baru yang dipimpin oleh Imam Masjid Negeri Suhaidi Kuanting.
Bermula selepas solat Asar, para peserta menghabiskan 30 juzuk Al-Quran mengikut agihan yang telah ditetapkan sebelum Suhaidi membacakan doa khatam Quran sebagai penutup.
Majlis istiqbal nuzul Al-Quran pada tahun ini menyaksikan edaran bubur lambuk yang disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Arifin Mohd. Arif selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk majlis.
![]() |
ASNAF...Tun Musa (dua dari kiri) diiringi Hajiji (kiri) menyampaikan sumbangan kepada asnaf. |
Dalam majlis sama, Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman turut menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai daripada Pusat Zakat Sabah Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) kepada 30 orang asnaf dari sekitar Kota Kinabalu.
Usai berbuka puasa, Tun Musa menyertai kira-kira 1,000 jemaah menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Terawih yang diimamkan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Awang Juri Ag Tahir.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ir Shahelmey Yahya merangkap Menteri kerja Raya, Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Datuk Seri Panglima Yahya Hussin.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)