![]() |
Shahelmey (kiri) melawat lokasi runtuhan di Jalan Keningau-Kimanis. |
KENINGAU: Jalan Keningau-Kimanis yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh di KM11.2 dan KM14.3 dijangka dibuka semula secara berperingkat dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi.
Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, pihaknya telah mengadakan tinjauan di lokasi pada awal tengah hari tadi dan mendapati kerja pembaikan sementara masih berjalan dan hampir siap.
"Dari tinjauan yang telah dibuat, kerja-kerja pembaikan (sementara) masih berjalan dan hampir siap. Penghadang jalan juga akan diletakkan di tempat-tempat yang sepatutnya.
"Maka adalah dianggarkan bahawa jalan tersebut mungkin boleh dibuka kepada pengguna secara berperingkat dalam tempoh dua ke tiga hari lagi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa pembukaan jalan itu masih tertakluk kepada keadaan cuaca semasa.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini sebelum menggunakan laluan berkenaan.