![]() |
KENANGAN... Christina (empat dari kanan) ketika bergambar kenangan bersama Pemegang Taruh Industri Pelancongan Sabah dalam program tersebut. |
KOTA KINABALU: Sabah komited memperkukuhkan industri pelancongan negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Datuk Seri Panglima Christina Liew berkata sebagai persiapan menuju VM2026, kerjasama adalah penting bagi memastikan kejayaan yang lebih besar.
"Sabah komited dalam membina hubungan strategik, memacu inovasi serta mengekalkan kedudukan sebagai destinasi utama pelancongan Malaysia dan antarabangsa.
"Sesi libat urus bersama semua pihak yang terlibat berfungsi sebagai platform kerjasama strategik bagi masa depan industri pelancongan Malaysia," katanya dalam Program Sesi Libat Urus Bersama Pemegang Taruh Industri Pelancongan Sabah di sini, pada Isnin.
Menurut beliau, Sabah Tourism juga mengukuhkan pelan strategik berasaskan konsep Budaya, Pengembaraan dan Alam Semulajadi (CAN) yang menonjolkan keunikan negeri ini.
"Inisiatif yang dirancang antaranya termasuk memperkasakan pelancongan lestari, meningkatkan infrastruktur pelancongan serta memperkukuh pelancongan berasaskan komuniti (CoBT).
"Bagi mencapai matlamat ini, sokongan berterusan daripada Kerajaan Persekutuan penting dalam memastikan kelangsungan industri ini.
"Geran-geran yang membantu memperkukuhkan sektor pelancongan di Sabah termasuk Geran Galakan Melancong (GAMELAN), Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP), Geran Sektor Penerbangan dan Carter (GSPC), serta Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK)," ujarnya.
Christina turut menyatakan sektor pelancongan negeri menunjukkan pemulihan yang luar biasa pada 2024 di mana Sabah menerima 3.14 juta pelancong melebihi sasaran awal sebanyak 3 juta sehingga akhir tahun lalu.
"Prestasi ini turut menjana hasil pelancongan sebanyak RM7.28 bilion, membuktikan kepentingan sektor ini terhadap ekonomi negeri.
"Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan ini adalah peningkatan hubungan udara, kerjasama dengan syarikat penerbangan seperti AirAsia dan Royal Brunei Airlines telah membuka lebih banyak peluang perjalanan, termasuk peningkatan ketibaan secara langsung dan transit.
"Sabah menyasarkan untuk menarik 3.5 juta pelancong pada tahun 2025, AirAsia sahaja komited untuk membawa lima juta penumpang ke Sabah melalui lapangan terbang di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau,” jelas beliau.
Hadir sama, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)