Selesaikan masalah air, elektrik dan jalan raya di Sabah manifesto BN - Zahid

Zahid Hamidi ketika berucap dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah kali ke-34 bertempat di Kompleks Sukan Tawau.

TAWAU: Menyelesaikan masalah kemudahan asas khususnya air, elektrik dan jalan raya di Sabah menjadi antara manifesto Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata masalah berkaitan kemudahan asas yang membelenggu rakyat di negeri ini harus diselesaikan.

"Insya Allah saya akan membantu mereka bagi menyediakan manifesto PRN akan datang. Kita tidak akan menjanjikan bintang dan bulan, matahari, kita tidak akan menjanjikan setinggi langit, tetapi saya yakin masalah-masalah asas di Sabah ini harus diselesaikan.

"Masalah air harus diselesaikan, masalah api harus diselesaikan, masalah jalan kampung harus diselesaikan, Pan Borneo mesti diselesaikan dengan cepat.

"Kita mahu pelaburan lebih banyak datang ke Sabah. Kita mahu pelancong lebih ramai di Sabah. Kita mahu keselamatan di Sabah dijadikan keutamaan, potensi untuk Sabah ini terlalu besar.

"Insya-Allah ini merupakan manifesto kita. Datuk Bung (Datuk Seri Bung Moktar Radin, Pengerusi BN Sabah) dengar baik-baik bahawa manifesto ini bukan kitab suci tetapi sekali kita berjanji, janji wajib ditepati," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah kali ke-34 bertempat di Kompleks Sukan Tawau, di sini, semalam.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama