![]() |
KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas motosikal jenis Harley Davidson yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga di 88 Marketplace, Lorong Kepayan 1, Taman Kepayan, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.26 pagi itu, mangsa dilaporkan terhumban ke dalam longkang sedalam tiga meter dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.26 pagi sebelum sembilan anggota bersama beberapa jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, mendapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kereta Proton Saga.
"Penunggang motosikal didapati telah terhumban ke dalam longkang sedalam tiga meter dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Pemandu Proton Saga berusia 37 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba bertindak mengangkat mangsa menggunakan stretcher sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Setelah memastikan tiada bahaya lain wujud, operasi ditamatkan pada jam 2.09 pagi,” katanya.