Sabah setuju keluarkan kos bina lorong memotong babit jalan Kundasang-Ranau

Menteri Kewangan negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bersetuju untuk mengeluarkan kos bagi membina lorong memotong melibatkan jalan Kundasang-Ranau sebagai inisiatif sementara mengurangkan kesesakan jalan raya khususnya ketika musim perayaan atau cuti sekolah.

Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata kesesakan jalan raya melibatkan laluan terbabit sering berlaku berikutan ia merupakan antara laluan paling sibuk.

Mengulas lanjut, katanya antara punca utama kesesakan jalan raya itu apabila kenderaan berat seperti lori menggunakan laluan terbabit menyebabkan pergerakan kenderaan lain akan menjadi lebih lambat.

"Saya sudah menyatakan kabinet telah bersetuju dimana sebagai langkah sementara untuk mengurangkan kesesakan (jalan raya), kita fikirkan langkah terbaik adalah membina lorong memotong.

"Oleh kerana ini memerlukan belanja yang tidaklah terlalu banyak, kerajaan negeri bersetuju untuk mengeluarkan belanja tersebut walaupun jalan raya itu berstatus jalan Persekutuan.

"Kita sedang menunggu rekaan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menentukan kos yang terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Kepala Singa Kepada Masyarakat Tiong Hua Sabah, di Dewan Hakka, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan itu turut berkata pada prinsipnya, kerajaan negeri tidak akan menunggu peruntukan daripada kerajaan Persekutuan jika ia mengambil masa terlalu lama.

"Adalah lebih baik jika mereka keluarkan perbelanjaan kerana itu jalan raya Persekutuan. 

"Tetapi jika kita rasa terlalu lambat bagi mereka untuk melaksanakan, kerajaan negeri bersedia untuk mengeluarkan perbelanjaan. Ia melibatkan kepentingan awam dan ramai yang terkesan," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama