Dakwaan rasuah bukan alasan, fokus jalankan tugas sebagai wakil rakyat


Kota Kinabalu – Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menegaskan dakwaan rasuah yang mengaitkan dirinya sebelum ini tidak menghalang beliau untuk menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat.

Katanya, beliau telah mengambil keputusan untuk keluar daripada isu terbabit bagi membolehkan beliau melaksanakan tanggungjawabnya terhadap rakyat negeri ini.

"Secara peribadi, saya memilih untuk bergerak ke luar isu ini agar dapat fokus melaksanakan tugas saya.

"Meskipun kecewa, ia tidak seharusnya menghalang kita daripada menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat, dan itulah tugas utama kita," katanya sewaktu ditemui media pada Majlis Penyerahan Kepala Singa sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2025, di Kota Kinabalu, pada Khamis.


Disamping itu, beliau juga menyatakan keyakinannya terhadap ketelusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menjalankan siasatan dan bersedia untuk memberikan maklumat tambahan jika diperlukan.

"Biarkan SPRM menjalankan siasatan mereka, dan saya yakin ia akan dilakukan dengan telus. Jika perlu, saya bersedia berkongsi maklumat tambahan," tambah Masidi.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa beliau secara sukarela menemui pihak SPRM untuk memberikan keterangan meskipun tidak menerima sebarang panggilan rasmi.

"Saya percaya kepada SPRM untuk menjawab persoalan ini. Saya datang tanpa dihubungi kerana tiada apa yang perlu disembunyikan," ujarnya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama