KPDN gesa salur maklumat terperinci sekiranya terdapat aduan kenaikan harga barang

Armizan ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Kinarut Palm City

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggesa kepada mana-mana pihak untuk menyalurkan maklumat terperinci kepada pihaknya sekiranya terdapat aduan berkenaan kenaikan harga barang.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata ia akan memudahkan pihaknya untuk melaksanakan pemantauan berbanding hanya berdasarkan kenyataan bersifat rambang tanpa maklumat terperinci.

"Ini kerana kita pantau harga setiap hari. Kita mengalu-alukan kalau ada maklumat (secara terperinci). Berikan kita (maklumat) lokasi, saya akan memastikan kurang dalam tempoh sejam, kita akan tengok.

"Sekiranya ada elemen pencatutan, kita akan ambil tindakan. Cuma harga yang berbeza antara Sabah, Sarawak dan juga selanjutnya bukanlah isu yang baru. Sudah sekian lama (telah berlaku) sejak orang-orang tertentu berkuasa lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita mengenai kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkaitan harga ayam di Sabah yang lebih tinggu berbanding di Semenanjung Malaysia sehingga melebihi RM12 sekilogram selepas pelancaran Kinarut Palm City, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Armizan berkata pihaknya juga telah sebelum ini melaksanakan usaha kajian berkaitan penstabilan harga Sabah, Sarawak dan Labuan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Menurutnya, kajian terbabit telah siap pada Disember lepas dan akan dibentangkan kepada pihaknya dan juga kerajaan negeri berkaitan.

"Saya mengharapkan kajian yang akan dibentangkan oleh UMS dalam (dijangka) Januari kepada saya ini akan dapat membantu apakah sebenarnya punca untuk kita menyelesaikan masalah ini dalam jangka masa panjang.

"Penyelesaian ini bukan hanya melibatkan satu agensi. KPDN (melaksanakan) pemantauan harga dan sekiranya ada kenaikan pencatatutan, kita ambil tindakan. Tetapi kita juga memerlukan komitmen daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

"Ini kerana dari segi bekalan sumber itu, untuk memastikan cukupnya bekalan adalah (dibawah tanggungjawab) KPKM. Begitu juga isu import dan eksport," katanya.

Selain itu, beliau juga menegaskan pihaknya tidak menafikan terdapat harga berbeza untuk barangan di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Katanya, apa yang penting kepada pihaknya adalah untuk mencari jalan penyelesaian jangka masa lama bagi mengatasi perkara terbabit.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama