MyCC, UMS perkasa undang-undang persaingan

Rahimie (dua dari kanan) bertukar dokumen MoU dengan Idrus (dua dari kiri) sambil disaksikan Armizan (tengah) - ihsan UMS

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) telah mengadakan perjanjian kolaborasi bersama Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi kerjasama berkaitan undang-undang persaingan. 

FPEP dalam satu kenyataan menjelaskan, kolaborasi tersebut dimeterai menerusi satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak, yang antara lain membuka peluang kepada UMS dan MyCC untuk bekerjasama khususnya dalam bidang pendidikan, penyelidikan, penerbitan dan latihan berkaitan dengan undang-undang persaingan.  

“Kolaborasi ini juga membuka peluang kepada sumber dan perkongsian ilmu di antara pensyarah dan pegawai MyCC serta keutamaan penempatan latihan industri kepada pelajar dan pensyarah UMS di MyCC.

“Ini dijangka akan memberi manfaat terutama kepada pelajar UMS dengan memberi nilai tambah dan pendedahan industri kepada mereka, serta menyerlahkan kerjasama erat yang berterusan di antara universiti awam dan agensi kerajaan melalui perkongsian strategik sumber manusia dan kepakaran,” demikian menurut kenyataan tersebut. 

Kenyataan FPEP turut memaklumkan, satu Majlis Pertukaran Dokumen MoU antara UMS dan MyCC telah diadakan di Sheraton Imperial Kuala Lumpur Hotel, bersempena dengan Simposium Undang-Undang Persaingan MyCC 2025 yang dihadiri lebih 250 orang peserta.

UMS diwakili oleh Dekan FPEP,  Prof. Madya Dr. Mohd Rahimie Abd Karim dalam acara pertukaran dokumen MoU tersebut, manakala  MyCC diwakili oleh Pengerusinya, Tan Sri Datuk Seri Idrus Harun, sambil disaksikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Terdahulu, Armizan dalam ucapannya berkata kerjasama tersebut bukan sahaja memberi tumpuan kepada memajukan pendidikan, dan penyelidikan, malah mempromosi undang-undang persaingan sebagai disiplin akademik utama. 

Menurutnya lagi, kerjasama yang diadakan bukan sahaja pelaburan dalam bidang akademik tetapi suatu langkah berani ke arah mengukuhkan kepakaran dan pengaruh Malaysia dalam undang-undang persaingan merentasi rantau Asia.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama