![]() |
Datuk Armizan Mohd Ali |
PAPAR: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa inisiatif yang dilaksanakan pihaknya bukan 'gula-gula' menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) negeri ini.
Menurutnya, insiatif selama ini yang dilaksanakan pihaknya merupakan hasil daripada pendapatan negeri yang semakin meningkat.
"Ia tidak hanya muncul masa PRN. Itu adalah inisiatif baru untuk tahun ini, biar hasil kita meningkat bukan hanya PRN. Sebelum ini Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) kita telah buat, bantuan pendidikan tahun ini kita datangkan kerana kita melihat kita punya hasil yang stabil.
"Ia akan menjadi program tahunan sekiranya rakyat terus memberi kepercayaan kepada Datuk Seri Hajiji dan kerajaan GRS untuk memimpin kerajaan negeri Sabah lepas PRN nanti.
"Ini bukan gula-gula PRN. Lepas PRN kita akan buat kalau banyak hasil lagi, kita tambah lagi dengan program yang lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Kinarut Palm City, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut berkata mana-mana pihak termasuk rakyat Sabah boleh menilai 'track record' GRS sepanjang menerajui pentadbiran kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun ini.
"Kita mahu 'track rekod' kita dalam tempoh yang telah diberi mandat lima tahun itu. Nilailah kami dalam tempoh lima tahun itu apa kerja yang telah dicapai dan apa perancangan untuk kita menyelesaikan masalah Sabah.
"Kita masih ada masa untuk buktikan kepada rakyat Sabah bahawa kita adalah pilihan yang terbaik kerana kita datang untuk menawarkan (inisiatif untuk rakyat) bukan memburukkan orang, bukan mencari salah orang," katanya.