KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, Datuk Mohamad Hamsan Awang Supain,65 disahkan meninggal dunia pada jam 11.20 malam tadi.
Beliau yang merupakan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Pembantu Menteri Kewangan II itu menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital swasta akibat serangan sakit jantung.
Berdasarkan sumber terdekat, dimaklumkam urusan pengebumian jenazah dilakukan di kediamannya di Taman Kong Lok, Sandakan.
Jenazah juga dijangka akan dibawa ke Masjid Pangiran Batu 7 sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bintang Baru Rancangan Sungai Manila, hari ini.
Pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke 16 (PRN16) pada 2020, allahyarham yang bertanding atas tiket BN memenangi saingan lima penjuru kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga dengan majoriti 1,538 undi.