Bung hanya gemar kelirukan rakyat demi kepentingan peribadi

Datuk Nizam Abu Bakar Titingan

 

KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dilihat gemar mengeluarkan kenyataan yang hanya mengelirukan rakyat dengan memburukan kepimpinan kerajaan negeri.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, semua tuduhan yang dilemparkan ke atas kerajaan negeri tidak berpandukan faktar sebenar.

Katanya, Bung suka mengeluarkan kenyataan tidak berasas dan tidak mencerminkan realiti pencapaian kerajaan negeri yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

“Padahal, dalam tempoh empat tahun ini, kutipan hasil negeri meningkat hampir dua kali ganda dengan catatan kutipan hasil RM6.973 bilion pada tahun 2023 tertinggi dalam sejarah Sabah.

“Pencapaian ini membuktikan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan Plus (GRS-PH Plus) telah mengurus ekonomi negeri dengan bijaksana melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, kerajaan negeri juga berjaya menarik pelaburan bernilai tinggi dan sekali gus dapat mencipta banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah secara langsung.

“Kita dapat lihat pelaburan sebanyak RM2.3 bilion oleh SK Nexilis di KKIP telah menyediakan lebih 500 peluang pekerjaan dan pelaburan dianggarkan RM7.2 bilion oleh Kibing Group telah membuka lebih 1,800 peluang pekerjaan baharu.

“Selain itu, pelaburan dalam industri petrokimia oleh Ammonia Urea Sabah (SAMUR) turut menyediakan lebih 1,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, kerajaan GRS-PH Plus turut aktif membantu belia Sabah mendapatkan kemahiran melalui program latihan kemahiran dan kerjasama dengan syarikat-syarikat pelaburan ini.

“Kerajaan negeri terus mempergiatkan usaha membina infrastruktur asas yang kondusif bagi meningkatkan ekonomi rakyat dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, terutamanya di kawasan luar bandar.

“Kepimpinan Ketua Menteri telah menunjukkan integriti dan komitmen yang jelas terhadap kesejahteraan rakyat Sabah, dan dakwaan mengenai ketidakcekapan atau isu integriti adalah usaha untuk mengalih perhatian daripada pencapaian sebenar kerajaan GRS,” katanya. 

Justeru, Nizam menasihatkan Bung supaya menilai kerajaan negeri berdasarkan fakta dan rekod pencapaian, bukan berdasarkan dendam atau tohmahan yang tidak berasas.

“Bung perlu menyedari bahawa kepentingan peribadi atau agenda politik sempit tidak boleh diletakkan sebagai senjata utama untuk memenangi hati rakyat.

“Saya menegaskan bahawa kerajaan GRS-PH Plus kekal fokus kepada agenda pembangunan dan kepentingan rakyat, dan tidak akan terpengaruh dengan dakwaan tidak berasas,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama