LABUAN: Sekurang-kurangnya 42 rumah Skim Penempatan Masyarakat Pelarian di Kampung Muslim Jalan Batu Arang, di sini musnah terbakar dalam kejadian pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu tadi turut menyebabkan dua mangsa cedera termasuk seorang melecur di bahagian belakang.
Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan Abdul Rahman Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.47 pagi.
Katanya, sepasukan 33 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labuan Sentral digerakkan ke lokasi kejadian.
“Operasi turut dibantu BBP Layangan, BBP Rancha-Rancha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) , Sabah Electricity dan Bahagian Bekalan Air (BBA).
“Pasukan bomba terpaksa membahagikan tiga sektor dan keluasan kebakaran yang membabitkan 7,000 meter persegi,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Abdul Rahman berkata, kebakaran berkenaan telah memusnahkan sebanyak 42 buah rumah dan membabitkan seramai 261 penghuni setinggan kehilangan tempat tinggal.
“Seorang mangsa dilaporkan melecur di bahagian belakang manakala seorang lagi mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
“Kebakaran dapat dikawal pada jam 11.39 pagi dan setelah memastikan tiada bahaya lain yang timbul operasi ditamatkan pada jam 12.43 tengah hari,” katanya.