![]() |
Salleh juga merupakan bekas Ketua Menteri Sabah, turut mengambil contoh pentadbiran negeri Sabah ketika diterajui parti politik tempatan mengambil keputusan untuk menghapuskan sistem residen. |
KOTA KINABALU: Pemimpin UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak mendakwa parti UMNO telah menabur banyak jasa khususnya dalam mempertahankan beberapa hak milik negeri ini yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkaya walaupun UMNO merupakan parti nasional namun pihaknya tidak pernah menyerahkan apa yang menjadi hak mutlak milik negeri Sabah kepada kerajaan Persekutuan disamping mendakwa sebaliknya parti tempatan yang telah berbuat demikian sebelum ini.
"Jasa UMNO tidak ada? 33 tahun UMNO bertapak di Sabah, mustahil tidak ada jasanya. MA63 bukan sekadar hak-hak seperti yang mereka katakan. Hak pembangunan hak kita. Kita merdeka, kita tubuhkan Malaysia.
"Kita mahu Sabah dibangun, kita mahu bidang pendidikan dibangun, kita mahu bidang ekonomi dibangun, jalan raya, hosputal dan sekolah dibangun. Hasilnya sekarang ini telah kita perolehi. Itu adalah hasil perjuangan kita termasuk dalam hak MA63.
"Kita mungkin parti nasional tapi kita tidak pernah menyerahkan hak Sabah kepada mereka (kerajaan Persekutuan), tidak benar. Parti bukan salah, yang salah pemimpin tidak mempertahankan. Siapa yang serah lima peratus minyak ke kerajaan pusat. Bukan parti nasional, bukan UMNO tapi parti tempatan.
"Siapa yang mengubah agama rasmi dulu tahun 1963? Sebelum merdeka agama bebas, tapi diserahkan, dijadikan agama rasmi di Sabah bukan parti Persekutuan tapi parti tempatan pada tahun 70 an termasuklah bahasa rasmi bahasa Melayu. ( Isu berkaitan hak) bahasa Melayu tidak pernah disentuh kerajaan pusat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu video tular yang dimuat naik dalam laman media sosial, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan bekas Ketua Menteri Sabah itu turut mengambil contoh pentadbiran negeri Sabah ketika diterajui parti politik tempatan mengambil keputusan untuk menghapuskan sistem residen.
"Ertinya, hak kita tidak pernah diambil oleh mereka (kerajaan Persekutuan), yang menyerahkannya kita sendiri atas alasan-alasan yang tertentu," katanya.
Menurutnya lagi, UMNO juga selama ini telah mempertahankan tiga hak utama dalam MA63 membabitkan hak tanah, kerajaan tempatan dan imigresen.