39,548 calon SPM 2024 di Sabah duduki peperiksaan bertulis bermula hari ini

Raisin turut menjelaskan bahawa JPN Sabah menegaskan komitmennya untuk memastikan peperiksaan SPM Tahun 2024 berjalan dengan lancar dan teratur.

KOTA KINABALU: Seramai 39,548 pelajar akan menduduki peperiksaan bertulis SPM 2024 di Sabah bermula 2 Januari 2025 sehingga 6 Februari 2025. 

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPN Sabah), Datuk Haji Raisin Saidin berkata, kesemua calon adalah terdiri daripada 35,232 calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), 472 calon sekolah di bawah agensi Kerajaan, 234 calon Sekolah Menengah Agama Negeri dan 2,425 calon persendirian serta 1,185 calon sekolah swasta. 

Menurutnya, proses peperiksaan ini akan dijalankan di 313 pusat peperiksaan dengan penyertaan 3,378 petugas peperiksaan, menurut kenyataan media daripada JPN Sabah.

Sementara itu, JPN Sabah ingin mengingatkan semua calon peperiksaan SPM Tahun 2024 agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung. 

“Calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan. 

“Calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM Tahun 2024,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini. 

Menurut beliau, bagi mengambil kira kemungkinan musim banjir, JPN Sabah telah menyediakan mekanisme persediaan untuk memastikan calon tetap dapat menduduki peperiksaan. 

“Calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau JPN Sabah dengan kadar segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana. 

“Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat JPN Sabah,” tambahnya. 

Raisin turut menjelaskan bahawa JPN Sabah menegaskan komitmennya untuk memastikan peperiksaan SPM Tahun 2024 berjalan dengan lancar dan teratur.

Katanya, JPN Sabah turut mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat, dan sejahtera.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama