Saling membantu dalam pelajaran kunci kembar seiras raih kejayaan bersama

Jaynie (kanan) dan Janet graduan kembar seiras pada Konvokesyen UMS Ke-26 - ihsan UMS. 

 
KOTA KINABALU: Hubungan adik-beradik yang utuh menjadi pemangkin yang membawa kepada kecemerlangan dalam bidang akademik buat sepasang kembar seiras.

Jaynie Jamirin dan Janet Jamirin yang masing-masing berusia 23 tahun meraikan hari paling bermakna apabila berjaya menamatkan pengajian sebagai graduan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam Majlis Konvokesyen UMS Kali Ke-26.

Pasangan kembar yang berasal dari Tongod itu masing-masing menempuh pelbagai cabaran dalam menamatkan pengajian dan semangat mereka untuk mencapai kejayaan tidak pernah pudar.

“Kami dari fakulti yang sama tapi kami mengambil jurusan yang berbeza jadi kami jarang jumpa, hanya pada hujung minggu kami selalu bersama. 

“Hubungan kami diibaratkan seperti kucing dan anjing, tetapi kami saling membantu antara satu sama lain,” kata Jaynie yang merupakan kakak. 

Mereka juga menceritakan kenangan sepanjang melanjutkan pelajar di universiti tersebut.

"Kenangan pahit yang paling saya ingat ialah pada hari pertama saya melangkah masuk ke sini. 

“Sebelum itu, kami hanya mengikuti pembelajaran secara dalam talian, jadi hari pertama di kampus membuatkan saya rasa tidak tahu apa-apa dan agak sedih.

“Menerima Anugerah Dekan pula merupakan kenangan yang manis dan terindah sepanjang melanjutkan pelajaran di UMS,” kata Jaynie. 

Jaynie (kiri) tidak menjadikan kecacatan fizikal pada bahagian kaki mematahkan semangatnya untuk meneruskan pengajian - ihsan UMS

Meskipun Jaynie mempunyai kecacatan fizikal pada bahagian kaki akibat kemalangan jalan raya, ia tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan pengajian.

“Jaynie adalah seorang yang sangat kuat. Dia tidak memerlukan dorongan kerana semangat dan ketekunannya sendiri sudah cukup untuk melangkah jauh,” ujar adiknya, Janet.

Selepas konvokesyen ini, pasangan kembar ini memiliki hala tuju yang berbeza tetapi saling melengkapi.

“Saya bercadang menyambung pengajian ke peringkat sarjana, manakala Janet ingin memulakan perniagaan dengan membuka 'studio photobooth' di kampung halaman mereka. 

“Impian ini bukan sahaja untuk menyara diri tetapi juga untuk memberi impak positif kepada komuniti,” kata Jaynie.

Jaynie yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Ekonomi Sumber Manusia), menerima skrol ijazah pada sidang ketiga yang disampaikan oleh Pro-Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim, manakala Janet, graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Keusahawanan), dianugerahkan ijazah pada sidang keempat yang disampaikan oleh Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama